Saturday, October 31, 2009

kreativiti Dalam Seni Visual

Kreativiti dapat ditafsirkan sebagai kebolehan berimaginasi atau mencipta sesuatu yang baharu. Ia satu kebolehan menjana idea baharu dengan menggabung, mengubah dan mengaplikasikan semua idea. Ada juga yang berpendapat bahawa kreativiti dapat menyumbangkan idea atau hasil baharu dalam budaya (Csikszentmihalyi, 2003) dan ia dianggap gabungan unik dan berguna (Sternberg & Lubart, 2003) . Namun begitu, persoalan yang timbul ialah bagaimana untuk menjadi kreatif ? Persoalan ini bukan sekadar dalam kalangan pelajar, malah juga pentadbir, pengurus, pereka dan sebagainya (Nickerson, 2003).

Goldberg (2001) menyatakan bahawa paling asas untuk memberikan perhatian terhadap Pendidikan Seni Visual di Sekolah Rendah ialah berkaitan isi kandungan pelajaran dengan proses kreativiti. Beliau menyatakan Pendidikan Seni Visual mempunyai perkaitan dengan budaya pembelajaran. Seni dapat mengembangkan peluang ekspresi diri kanak-kanak, kebebasan bersuara, membangunkan harga diri, mengalakan kerjasama dan keharmonian kumpulan, memberikan kuasa pemikiran kepada guru-guru dan pelajar, dan menyatakan kebenaran dalam kebudayaan bangsa.

Ainon dan Abdullah (1996), menyatakan bahawa terdapat beberapa cara dan pendekatan mikro yang digunakan untuk menjana idea kreatif.

i. Pendekatan lateral ialah kaedah penghasilan kreatif yang dipopularkan oleh Edward de Bono yang menghasilkan idea luar biasa. Di sekolah, bidang mengambar, membuat bentuk dan rekaan memberikan kebebasan kepada pelajar menerokai proses menerbitkan idea baharu.

ii. Kaedah proses kreatif projektif adalah merupakan pendekatan meramal. Dalam pendidikan seni kanak-kanak akan didedahkan tentang cara membuat bentuk dan mencari idea reka cipta baharu. Misalnya, reka cipta model kereta nasional pada tahun 2020.

iii. Kaedah konstruktif merupakan proses kreatif yang menekankan kepada pembaikan dan membina idea yang telah ada dan diperbaharui.

iv. Kaedah imaginatif merupakan kaedah yang paling banyak dilakukan dalam Pendidikan Seni. Imaginatif dapat dikesan melalui aktiviti menggambar seperti menggambarkan makhluk asing, gambaran mimpi dan sebagainya. Kaedah imaginatif dapat menanam pemikiran kreatif dan futuristik dalam minda kanak-kanak.

Kreativiti dapat dicungkil melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Aktiviti melalui penggunaan warna dapat merangsang minda pelajar lebih kreatif. Ketika menghasilkan karya catan misalnya, pelajar diberi peluang mencuba pelbagai warna yang mereka fikir sesuai. Mereka bebas menggabungkan warna pilihan untuk menghasilkan warna baharu yang sesuai dengan karya. Dengan cara ini, pelajar bebas meneroka, meluahkan perasaan dan kreativiti.

Ketika menghasilkan kolaj, pelajar dapat menggunakan kertas warna dan meneroka penggunaan bahan berwarna yang terdapat di sekitar mereka. Misalnya, keratan kertas majalah, cebisan kertas kotak, helaian daun kering, serpihan kulit kayu dan sebagainya. Mereka akan menampal bahan-bahan pilihan untuk membentuk objek imaginasi. Proses memindahkan idea, dari kotak fikiran ke bentuk visual, di atas kertas merupakan satu proses artistik yang penuh kreativiti. Proses ini menggabungkan beberapa jenis deria rangsangan dan dapat merangsang minda pelajar agar lebih kreatif dan berkesan.

Pelajar dapat mencuba, membuat eksprimen dan meneroka penggunaan bahan untuk menghasilkan karya. Melalui Seni Dalam Pendidikan pelajar dapat menggunakan bahan-bahan di sekitar mereka untuk membentuk, membuat binaan dan sebagainya. Mereka tidak terikat dengan bahan yang disediakan dalam bilik darjah. Pembelajaran mereka meliputi ruang yang lebih luas dan mendorong mencapai tahap kepuasan belajar sebagaimana diinfini.

Ikatan peraturan bilik darjah tradisional tidak sesuai lagi digunakan. Kini pelajar bebas bergerak dalam kawasan yang difikirkan perlu dan selamat. Mereka tidak terkongkong di atas kerusi sahaja sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran. Namun begitu, pelajar perlu mematuhi arahan yang diberikan oleh guru. Guru boleh membawa pelajar keluar dari bilik darjah untuk membuat pemerhatian, catatan, penyelidikan, rakaman serta ujikaji. Pelajar boleh menggunakan pengalaman sedia ada untuk digabungkan dengan pengalaman baharu untuk mendapatkan hasil. Pengalaman ini dapat merangsang minda pelajar agar bertindak lebih kreatif, dan mengalami suasana pembelajaran yang seronok.

Penggunaan irama dalam pengajaran dan pembelajaran juga dapat menarik minat kanak-kanak untuk menyertai aktiviti yang dijalankan. Pelajar lebih aktif melakukan aktiviti yang dirancang oleh guru. Pelajar juga berpeluang mencipta aktiviti dan pergerakan sendiri. Biasanya kanak-kanak boleh memberikan reaksi secara spontan apabila dirangsang oleh sesuatu irama muzik. Irama beleh dihasilkan dengan menggunakan alat muzik, alat audio dan juga dihasilkan sendiri oleh guru dan pelajar melalui tepukan, hentakan kaki, mengetuk meja dan sebagainya.

Irama boleh diaplikasikan dalam semua bidang mata pelajaran. Irama biasanya dimainkan untuk mengiringi nyanyian dan juga tarian. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, irama digunakan untuk menbangkitkan mod situasi tertentu. Contohnya pengajaran penulisan bagi Mata Pelajaran Bahasa Melayu yang bertemakan Sambutan Hari Kemerdekaan. Aktiviti seperti nyanyian Lagu Kemerdekaan, berkawad seperti anggota tentera dan sebagainya sangat sesuai diringi dengan irama muzik. Ini akan membangkitkan semangat patriotisme dalam diri mereka. Berkenaan seni dalam pendidikan, pelajar digalakkan menghasilkan sendiri irama dan pergerakan. Pelajar boleh menghasilkan alat muzik dengan menggunakan botol mineral yang disi dengan batu kecil. Pelajar boleh mencipta pergerakan yang sesuai dengan irama yang dimainkan. Kreativiti akan dapat ditingkatkan apabila mereka menghasilkan irama dan pergerakan melalui alat yang digunakan.

Penggunaan ruang secara terancang adalah sangat perlu supaya semua pelajar dapat menyertai aktiviti yang dijalankan dengan lancar. Ruang kosong yang terdapat di bahagian hadapan dan belakang kelas perlu disusun dengan baik bagi memudahkan guru dan pelajar menjalankan aktiviti dengan seronok dan selamat. Susunan perabut termasuk kerusi dan meja perlu bersesuaian dengan suasana dan corak pembelajaran. Guru boleh menggunakan ruang di luar bilik darjah untuk menjalankan aktiviti yang dirancangkan. Aspek keselamatan perlu diutamakan semasa menjalankan aktiviti sama ada di dalam mahupun di luar kelas. Ruang yang secukupnya akan membantu pelajar merancang aktiviti seperti pergarakan dan sebagainya dengan lebih kreatif. Pelajar dapat mencuba berbagai-bagai pergerakan yang mereka fikir sesuai dengan irama dan juga mengikut lirik sesebuah lagu.

Kesimpulan

Seni dalam pendidikan dapat memberikan satu lagi teknik pengajaran kepada guru-guru di sekolah bagi mewujudkan idea-idea kreatif para pelajar. Guru dapat kenal pasti punca dapat mendorong dan merangsang pelajar memahami isi pengajaran. Satu bentuk pengajaran yang menyeronokkan dan memberikan peluang kepada pelajar menunjukkan bakat dan daya kreativiti. Pelajar yang berpeluang mengikuti pengajaran ini lebih bermotivasi, mempunyai keyakinan diri yang tinggi, lebih mudah berkarya dan mempunyai sikap positif. Mereka dapat meluahkan idea dan perasaan dalam aktiviti yang dijalankan. Oleh sebab itu, pihak sekolah sepatutnya tidak meminggirkan mata pelajaran Pendidikan Seni Visual di sekolah, atau menggantikannya dengan mata pelajaran lain hanya kerana ingin pencapaian tinggi dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah. Hal ini kerana seni dalam pendidikan mampu merangsang minda pelajar agar lebih kreatif, berkeyakinan dan berdaya maju.

No comments:

Post a Comment

kreativiti seni

kreativiti merupakan pengolahan idea yang menunjukkan perbezaan kreatif seseorang individu dengan individu yang lain.
namun, kreativiti juga boleh dipamerkan dengan imej-imej yang kreatif. hal ini adalah kerana, bagi menunjukkan sesuatu imej itu yang estetik atau lebih menarik..